Thursday, June 21, 2007

hadis pilihan

Larangan Melintasi Orang Sembahyang




Diriwayatkan daripada Abu Juhaim r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang itu mengetahui betapa besarnya dosa yang akan menimpanya, nescaya dia akan berdiri selama empat puluh, itu adalah lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang. Abu An-Nadhri berkata: Aku tidak tahu, adakah Rasulullah s.a.w bersabda: Empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. (Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Kesimpulan Hadis: 1- Larangan dari melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang dan tidak ada perbezaan di antara orang yang mendirikan sembahyang fardhu ataupun orang yang mendirikan sembahyang sunat. 2- Ancaman yang hebat terhadap orang yang memandang remeh terhadap perkara ini.








Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji secara ikhlas kerana Allah tanpa bercakap dengan percakapan yang kotor dan tidak melakukan kefasiqan, dia kembali menjadi bersih (tidak mempunyai dosa) sebagaimana ketika dia baru dilahirkan oleh ibunya. (Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 1- Kelebihan mengerjakan ibadat Haji dengan ikhlas serta menghindarkan diri dari riak dan ingin dipuji. 2- Orang yang mengerjakan ibadat Haji hendaklah menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan dosa sama ada perkara-perkara yang keji, maksiat, bertengkar atau berakhlak buruk walaupun dia baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadat Haji sedangkan dosa-dosanya telah diampunkan oleh Allah s.w.t.

hadis pengharaman zina

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Allah s.w.t telah menentukan kadar zina bagi setiap orang anak Adam (manusia) yang tidak dapat dielakkan. Zina mata berlaku secara melihat, zina telinga berlaku secara mendengar, zina lidah berlaku melalui percakapan dan nafsu berangan-angan serta menginginkan sedangkan kemaluan boleh membenarkan atau membohonginya (melaksanakannya ataupun tidak). (Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Kesimpulan Hadis: 1- Nasihat supaya menjauhi zina, menjauhi perkara-perkara dan pendahuluan-pendahuluan yang boleh menyebabkan berlaku zina. Umat Islam hendaklah berhati-hati dengan tempat-tempat yang meragukan supaya dia dan anggota tubuh badannya selamat.

HADIS: Pernikahan ikut sunnah Rasulullah

DARIPADA Anas, katanya, Nabi Muhammad bersabda bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.

Allah menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara halal. Fitrah itu dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan sah. Dalam Islam, perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah yang juga pelaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Orang yang berkahwin akan dapat mengatur suatu kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab. Mereka adalah golongan yang berjaya melaksanakan amanah yang diberi, iaitu sebagai khalifah Allah yang mempertahankan peradaban dan tamadun manusia. Orang berkahwin bertanggungjawab secara keseluruhannya terhadap rumah tangga dan ahli keluarga. Segala perbuatan yang dilakukan demi kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga mendapat pahala daripada Allah.Perkahwinan adalah suatu sunnah Rasulullah bagi meneruskan dakwahnya mengatasi masalah sosial dalam masyarakat, mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam untuk melahirkan generasi salih.